Saturday, March 26, 2011

Titik Pengakhiran

WARKAH CINTA BERBAU SYURGA

Oleh Qalam Hazin

Ini adalah catatan hati. Ditulis daripada hati menggunakan bahasanya. Sebelum ia mengetuk minda, biarlah ia berteleku di jiwa dahulu. Agar tenangnya bersimpuh dan damainya melingkar. Kala ini kamarku sepi dan kalimantang menyala renang di atas ubunku. Dengan puntung jejari ini aku menaip sesuatu buat tatapan minta. Benar! Malam sudah larut amat, subuh juga dalam perjalanan. Pantas, aku mengambil masa yang panjang mencatatkan sesuatu buat kalian. Kuharap ianya boleh disimpan untuk dibaca oleh orang-orang selepas kalian.

Benar! Kita bukan nabi ataupun rasul, kita tidak maksum. Kita tidak sunyi dari kekurangan dan kesilapan . Setiap perkataanku juga mungkin merencitkan kesalahan. Ampun kupinta jika ia melukakan. Tetapi, kucuba sedayanya untuk menulis apa yang baik.

Bukan niatku untuk menghina atau menjatuhkan sesiapa. Tetapi aku sekadar mahu berkongsi apa yang baik. Tidak pernah aku mahu menyakiti sesiapa. Lantaran hatiku merah juga. Jika dikelar akan terluka, jika terguris akan tercalar juga.  Aku juga manusia dan darahku merah serupa. Malah aku juga punya nyawa, akan mati juga suatu masa dan jika dosa kubawa pergi... bukankah malang nasibku di sana? Ampunkan aku... moga tuhan mengampuni kalian.

Kalian tentu sedar bahawa kita semua ada permulaan. Kita semua dilahirkan ke dunia ini. Ketika itu kita semua dalam keadaaan jahil, tidak berdaya dan lemah. Kurang segala-galanya. Alam yang menyambut kita pantas akan menyatakan. 'Jika mahu hidup di atasku, kamu harus sabar. Jika mahu impian yang sederhana, kamu tidak perlu berbuat banyak. Jika kamu mahu mencapai impian yang besar, kamu harus berjuang. Jika kamu mahu dunia menerimamu, maka kamu harus menjadi luar biasa dan berbeza.

Bererti, hidup manusia berbeza-beza dengan kadar ujian. Jika berat tekanan, dia akan menjadi lebih berkualiti. Itulah sunah kehidupan.

BERSAMBUNG...

27/3/11 [ tarikh ana tulis bukan tarikh Qalam Hazin tulis] >^_^<

Lalu diperuntukkan tempoh waktu untuk kita mengejar mimpi. Jika kita mahu mengejar suatu yang besar, kita akan diberikan ujian. Ketika itu, jiwa diusik, hati tertekan, fikiran dibentak, perasaan akan memberontak. Itulah proses, untuk meraih kebijaksanaan, kematangan dan ketabahan. Ia akan memakan waktu untuk bergantung kepada 'cara' dan 'persepsi' yang mampu menyelamatkan daripada huru-hara ini. Selepas itu, kita akan lahir sebagai manusia baharu yang memiliki suatu nilai yang baharu. Pilihan di tangan kita untuk memilih 'cara' dan 'persepsi' dalam setiap proses.

Begitu juga soal membentuk kemahiran. Jika mahu memahirkan diri dalam bidang yang besar, prosesnya sama. Dari kecil sehingga besar... daripada awal sehingga akhir kita harus melalui prosesnya. Ia persis sebuah pertarungan, ia berlangsung sehingga diri sendiri memilih untuk 'berhenti' dan 'tewas' di dalam proses itu. Atau dia memilih 'tabah', 'mara' dan 'menang!'. Atau paling tidak kita boleh memilih 'berhenti' dan 'bertahan'. 

Begitu juga aku, seharusnya ruangan ini tidak mahu kuakhirkan. Kerana aku sendiri mahu mengambil sikap 'tahan', 'mara' dan 'menang'. Tambahan pula hidupku dan kalian masih ada sambungan. Aku akan cuba mencapai impian selagi keadaan mengizinkan. Selagi nyawa tidak bercerai, bagaimana kisah ini akan berakhir?

Walau bagaimanapun ruangan ini akan diakhirkan. Agar diberi jalan kepada suatu agenda yang lebih baik untuk tampil. Boleh jadi, akan ada lagi waktu untuk kita bersama dalam siri yang akan datang. Siapa yang tahu? Boleh jadi juga, ia ternoktah di sini sahaja.

Cuma aku ingin nyatakan dalam hudud waktu dan keterbatasan ini. Bahawa sememangnya aku cuba menjadikan bicara di ruangan ini sebagai mantera. Sedayanya aku titipkan dengan seni hati agar menjadi nuansa kata. Biar berdegar-degar diksinya menyihirkan atma dan sukma. Tetapi, ia tidak ubah seperti kata retiorik yang mahu meraih simpati. Lagaknya persis rintihan yang merayu hiba kepada pembaca. Tetapi itulah tujuannya, aku mahu menjentik sukma pembaca dengan kata-kata. Aku sadurkan kisah sedih dengan menongkat semangat. Aku lingkarkan kisah perjalanan dengan maklumat. Aku juga titipkan kekecewaan dengan wasiat dan pesanan. Semuanya untuk cuba menyedarkan kalian hidup perlu ada perubahan.