Thursday, December 1, 2011

Surat Terbuka Dari Iblis

Hai manusia yang tersayang,

Tadi malam waktu akan tidur, aku lihat kau tidak memuji Allah, tidak berselawat, tidak membaca Ayat Kursi dan Kulhu. Ini bagus sekali kerana waktu akan tidur ialah waktu untuk tidur, bukan untuk membaca Al-Quran. Sesungguhnya kau tidak membuang-buang masa.

Pagi ini aku lihat kau tidak bangun mengerjakan solat subuh. Bagus sekali! Kau telah membuktikan bahawa kau sahabatku yang budiman. Janganlah kau bersusah-susah bangun dan memendekkan tidur. Tidurlah dengan nyenyak dan nyaman. Jangan hiraukan suara ayam berkokok yang mengejutkan kau dari tidurmu. Bila subuh datang menjelang, udara masih dingin, tariklah selimutmu dan tidurlah sayangku seperti puteri kayangan.

Aku lihat kau jarang-jarang mengambil wuduk. Ini bagus sekali kerana kau tidak membazirkan air dan tidak meninggikan water bil rumahmu. Aku lihat kau tidak pernah membaca Bismillah sewaktu makan. Ini bagus, kerana kau tidak memenatkan mulutmu, dan bila sudah kenyang kau tidak pernah menyebut Alhamdulillah. Ini bagus juga, cukuplah kau sendawa kuat-kuat seperti lembu.

Hai manusia yang kucintai,

Semalam ada seorang peminta sedekah datang ke rumahmu. Kau menghalau dia pergi tanpa kau memberikan duit sesen ataupun seteguk air. Ini sangat bagus dan terpuji, kerana kau tidak membuang-buang duit dan tidak membazirkan rezekimu yang melimpah ruah yang diberi Allah kepadamu. Kau seorang yang jimat cermat. Biarlah rezeki kau untuk kegunaan kau seorang, untuk menonton wayang, berholiday di Genting dan membeli kemewahan-kemewahan dunia.

Aku lihat bila kau bertemu dengan sahabat handaimu, kau tidak mengucap Assalamualaikum. Kau mengucapkan " Hi Everybody! ". Ini bagus juga kerana kau menunjukkan bahawa kau mengerti adab resam orang kafir dan kau mengerti bahasa English. Tak perlu kau belajar bahasa Arab kerana ini bukan bahasa antarabangsa. Kau telah membuktikan bahawa kau dan aku adalah sahabat sejati. Sudah tentu kau adalah seorang yang budiman kepada kaumku.

Duhai manusia,

Di sepanjang Ramadhan ini, telah lemah seluruh urat sendiku, telah terbakar seluruh jasadku, merintih ku kesakitan, bila setiap kali ku lihat hamba-hambaNya yang penat berpuasa di malam hari dan menghabiskan waktu malam dengan berterawih, berzikir dan merintih mengenangkan dosa-dosannya yang lepas, kerana pintu taubat telah dibuka oleh Allah dengan seluas-luasnya...

Namun, aku tetap gembira kerana ada diantara kalian yang masih sudi menjadi temanku. Melepaskan peluang rahmat Allah dengan mengucapkan perkataan yang sia-sia, mengumpat, tidak berterawih, malah mencipta persengketaan. 

Aduhai tubuh badanku yang terbelenggu telah segar kembali... cukuplah NAFSU manusia sendiri menjadi penyambung tugasku di sepanjang bulan uang dirahmati ini. Di akhirat nanti, kau dan aku dapat berjalan bersama-sama, kita berpegang tangan menuju ke Neraka Jahanam.

Sahabatmu Yang Tercinta,
Iblis Laknatullah


Catatan: Surat ini adalah hasil ciptaan manusia yang mempunyai "Niat yang Murni" untuk mengingatkan pembaca, bagaimana iblis dengan segala tipu dayanya menggoda manusia. Matlamat sebenar iblis laknatulahi'alaih ialah mengheret manusia bersama-samanya untuk ke dalam "NERAKA JAHANAM".




Ambil dari:   KOMPLEKS DAHLIA UITM PERLIS
                   JULY--NOVEMBER 2010

                   AURAT SAYA MARUAH SAYA

                   NICE 11

No comments:

Post a Comment